Monday, March 8, 2010

KELAHIRAN AGUNG

Sebaik sahaja kita menghampiri bulan Rabiul awwal, maka rasanya tidak sabar dikalangan umat Islam yang cintakan nabi untuk membuat persiapan menyambut hari kelahiran junjungan mulia nabi Muhammad SAW. Tanda cintakan Nya, telah banyak dizahirkan dengan melakukan pelbagai aktivti antaranya adalah sesi ceramah agama khas membicarakan berkenaan sejarah hidup Nabi, Marhaban, Perarakan, Kuiz sejarah dan sebagainya. Kadang-kadang terdetik juga dihati, ada dikalangan kita yang tidak mahu memperingati saat kelahiran nabi, namun lebih teruja dengan menyambut hari kelahiran sendiri, kelahiran isteri anak-anak juga ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.
Tanda cintakan nabi boleh dizahirkan dengan pelbagai cara, bukan sekadar dengan perkara-perkara yang telah disebutkan tadi. boleh jadi dengan perbanyakkan selawat keatas Nabi muhammad, berazam untuk menjadikan sunnah nabi sebagai amalan hidup, menjadikan Nabi Muhammad serta para sahabat nabi sebagai idola dan banyak lagi.
Terfikirkah kita bahawa penghidupan kita sebagai Islam hari ini adalah dari usaha jerih perih Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW yang berusaha membawa wadah Islam memulakan mewarnai kehidupan awal masyarakat jahiliyah disemenanjung tanah arab pada ketika itu. Islam yang kita dapat hari ini merupakan hasil tulen yang telah diperjuangkan dengan bermandikan peluh serta darah umat Islam pada ketika dulu. Maka amat wajar ungkapan terima kasih yang tidak terhingga kita kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW diungkapkan bersempena dengan bulan kelahirannya. Oleh itu, adalah tidak salah jika rasa cintakan nabi muhammad SAW dizahirkan dengan melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebaikan seperti yang telah dinyatakan tadi. Dengan lafaz yang mudah marilah kita bersama-sama berselawat keatas Nabi Muhammad mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan hamba-hamba yang mencintainya. Allah Humma Solli ala Saiyidina Muhammad....