Wednesday, August 19, 2009

HAK WANITA DALAM ISLAM (Bahagian 1)

Tuntuan Mutaah

Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dan bukan kematian suami.
Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Mutaah: “ Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah menurut yang ma’aruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah : 241)
Dalam ayat yang lain pula Allah swt menyatakan: “Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajiban atas orang-orang yang mahu berbuat kebajikan”. (Surah Al-Baqarah : 236)
Firman Allah swt : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman kemudian kamu ceraikan mereka sebelum menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka dan lepaskan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”. (Surah Al-Ahzab : 49)
Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai Mutaah ini. Dasar penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimanapun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.

Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein (1980, Jld.3 J.H.) Peguam bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Abi Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai Mutaah. Peguam iu berhujah pihak yang kena tuntut (suami) seorang yang berkemampuan. Yang Arif Kadi Besar selangor (pada masa itu) telah merujuk surah Al-Ahzab ayat 49 dan memutuskan pihak yang menuntut (isteri) berjaya menuntut Mutaah sebanyak RM25,200 sebagaimana yang dituntutnya.
Apa yang nyata berdasarkan kes ini, walaupun seseorang wanita itu mempunyai pendapatan yang baik, ia tetap menuntut haknya kerana perceraian itu atas kehendak suami.
Dalam Islam pemberian Mutaah ini bertujuan:
1. Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu apabila ada pemberian Mutaah ini, maka bekas isteri bolehlah menggunakannya sebagai modal untk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai.
2. Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada kebiasaaannya terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita yang diceraikan kerana ada sesuatu aib pada dirinya.
Oleh itu pemberian Mutaah itu bermakna perceraian itu bukan berpunca dari bekas isteri.
Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.

No comments:

Post a Comment