Tuesday, September 1, 2009

HAK WANITA DALAM ISLAM (BAHAGIAN 3)

Tuntutan Nafkah Eddah
Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib bereddah. Hikmah bereddah ialah supaya dalam waktu eddah talak rajie ini, suami dan isteri itu berfikir panjang dan merasa bagaimana pahit getirnya perceraian. Walau bagaimanapun, bagi seseorang isteri yang diceraikan dalam talak rajie berhak mendapat nafkah dengan syarat:
a. Isteri itu diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), dalilnya ialah Nabi Muhammad saw bersabda, “Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”. (Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i) Pendapat ini adalah sepakat mazhab empat.
b. Isteri yang hamil yang ditalak dengan talak bain (tidak boleh dirujuk) berhak juga mendapat nafkah sehingga anak itu lahir. Ini berdasarkan firman Allah swt: “Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah keapda mereka hingga mereka melahirkan anaknya”. ( Surah At-Talaq: 6)
Fuqaha bersepakat dalam perkara ini di mana perempuan itu berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat tinggal hingga anak itu lahir. Seseorang isteri yang mengandung sememangnya menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya. Apabila berlaku perceraian kesannya akan menambahkan lagi penderitaan di mana kemungkinan besar memberi kesan kepada kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu. Oleh itu sebagai langkah untuk mengurangkan tekanan perasaaan dan menjaga kepentingan anak dalam kandungannya maka Islam memutuskan bahawa perempuan hamil walaupun diceraikan secara talak bain berhak juga mendapat nafkah eddah.
c. Perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman. Ini adalah pendapat Jumhur Fuqaha dengan alasan ketika nabi Muhammada saw mengulas mengenai talak tiga ia menyatakan: “Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)
Walau bagaimanapun, menurut Hanafi perempuan dalam kes ini berhak mendapat nafkah kerana Allah swt berfirman: “Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaaan kamu”. (Surah At-Talak : 6)
Menurut Hanafi kehendak ayat ini adalah umum sama ada perempuan itu dalam eddah talak rajie atau talak bain semuanya mendapat nafkah.
d. Isteri yang dalam eddah kerana kematian suami tidak berhak mendapat nafkah eddah meskipun ia dalam kaeadaan hamil. Mengenai perkara ini Nabi Muhammad saw menjelaskan: “Tidaklah mendapat nafkah bagi perempuan hamil yang kematian suami”. (Riwayat Darul-Qutni)
Pendapat ini adalah sepakat Fuqaha kerana pada kebiasaaannya seseorang yang diceraikan kerana kematian suami boleh membeuat tuntutan pusaka ke atas harta peninggalan suami dan tanggungjawab suami itu dianggap terhapus.
e. Isteri hendaklah taat dan patuh kepada suami iaitu isteri tidak nusyuz. Menurut kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 29 halaman 48 menyatakan: “Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran”.
Dalam kes Syarifah Sapoyah lwn Wan Alwi (1988 Jld. VI-II J.H.) Yang Arif Kadi Besar Sarawak Awang Pon bin Awang Sebon ketika memutuskan kes itu berhubung dengan tuntutan nafkah eddah menyatakan:
“Menurut Hukum Syarak seseorang isteri yang telah diceraikan oleh suaminya berhak mendapat nafkah eddahnya sekiranya seseorang isteri itu diceraikan dengan talak rajie atau dengan talak bain sedangkan si isteri mengandung dan isteri tersebut tidak melakukan perbuatan yang dianggap nusyuz. Dalilnya ialah: “Dari Fatimah binti Qais bahawa Rasulullah saw menyatakan hanya perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman bekas suaminya apabila suami berhak rujuk kepadanya”. (Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)
Menurut kitab Al-Fiqhu ‘Ala Mazahib Al-Arba’ah Juzuk 4 karangan Abdul Rahman Al-Jazini menerangkan : “Isteri yang ditalak rajie wajib mendapat hak nafkah eddah tidak kira sama ada ia merdeka, hamba, mengandung atau tidak mengandung”.
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978 Jld. 1 J.H.) menyatakan: “Hak nafkah eddah jika tidak dijelaskan semasa edddah maka ia menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi tempat kediaman jika tidak dituntut semasa dalam eddah maka hak itu terluput”, berdasarkan pandangan kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 85 ; “Jika sebahagian atau keseluruhan masa eddah telah berlalu dan isteri (yang diceraikan) tidak menuntut hak tempat tinggal maka gugurlah hak itu dan tidak menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya”.
Ini bermakna seseorang isteri yang diceraikan berhak mendiami tempat tinggal dan mendapatkan nafkah dari bekas suaminya dalam tempoh eddah berdasarkan syarat-syarat di atas.

No comments:

Post a Comment