Thursday, September 3, 2009

KAPAL SELAM PERTAMA NEGARA


PELABUHAN KLANG: Sejarah tercipta buat negara dengan ketibaan kapal selam pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Tunku Abdul Rahman, di pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, di Pulau Indah di sini hari ini. Ketibaannya disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang disertai Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Yang Dipertua TLDM; Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia; Jen Tan Sri Azizan Ariffin; Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; dan anggota keluarga anak kapal KD TAR.
KD TAR, yang dikendali oleh 32 orang pegawai dan anggota diketuai Pegawai Memerintah Komander Zulhelmey Ithnain merapat ke jeti pada 9.20 pagi, dengan anak kapalnya melambai-lambai ke arah orang ramai. Tuanku Mizan dan Sultan Selangor serta Tengku Amir Shah bersama Najib, Muhyiddin, Ahmad Zahid, Panglima ATM, Panglima TLDM dan Ketua Polis Negara kemudiannya diiring masuk melawat ke dalam kapal selam pertama negara itu. Sempena ketibaan KD TAR, Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk melancarkan setem kenangan dan sampul surat hari pertama yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia dengan kerjasama TLDM bagi mengiktiraf aset pertahanan negara itu. SUMBER- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment